Khamis, 26 Mac 2009

AKHLAK

Kebanyakan manusia tidak mengetahui akhlak buruk dirinya.Hanya manusia yang mata hatinya tembus sahaja yang dapat melihat keburukan akhlaknya yang membolehkan dia mengubatinya. Bagaimanakah caranya untuk mengetahui akhlak sendiri?

1.Berguru, di mana guru tersebut sentiasa memerhatikan perbuatan anak muridnya dan memberitahu kekurangan yang dapat dilihatnya. Cara ini sukar sekali diperolehi pada masa sekarang.

2.Bersahabat dengan orang yang jujur, beragama dan melihat dengan mata hati. Temannya itu dijadikan sebagai pengintip akhlaknya dan disuruhnya memberitahu akan keburukan dirinya.

3.Daripada kata-kata musuh. Musuh yang marahnya meluap-luap akan senang menyebutkan kekurangan diri seseorang. Hanya orang yang bijak akan mengambil manfaat daripadanya.

4.Bergaul dengan orang ramai. Akhlak tercela yang ada pada orang ramai itu dicari pada dirinya sendiri. Sekiranya ada dia berusaha membersihkannya. Sesungguhnya orang mukmin itu cermin orang mukmin.Mengenal tanda-tanda kebagusan akhlak. Orang yang bagus akhlak itu :-
1. Banyak malu.
2. Sedikit menyakiti orang.
3. Sedikit perselisihan.
4. Banyak berbuat baik.
5. Lidahnya banyak berkata benar.
6. Sedikit bicara.
7. Banyak kerja.
8. Sedikit terperosok.
9. Sedikit berbuat hal-hal yang tidak perlu.
10. Penyambung silaturrahim.
11. Lemah lembut terhadap orang bawahan dan atasan.
12. Penyabar.
13. Banyak berterima kasih / bersyukur.
14. Rela apa yang ada.
15. Dapat mengendalikan diri ketika marah.
16. Kasih sayang.
17. Manis muka untuk orang kecil dan orang besar.
18. Dapat menjaga diri.
19. Meninggalkan mencari kesalahan orang.
20. Kembali mencaci diri sendiri.
21. Meminta maaf.
22. Murah hati kepada fakir miskin.
23. Tidak mengutuk orang.
24. Tidak suka memaki.
25. Tidak mengadu domba.
26. Tidak mencaci orang.
27. Tidak tergesa-gesa dalam pekerjaan.
28. Tidak pendengki.
29. Tidak kikir.
30. Tidak penghasut.
31. Manis muka.
32. Bagus percakapan.
33. Cinta pada jalan Allah.
34. Benci / sayang kerana Allah.
35. Rela kerana Allah.
36. Marah kerana Allah.

Jalan melatih anak-anak untuk membaguskan akhlak :-Anak yang masih kecil mempunyai hati yang suci, halus dan kosong dari semua ukiran. Dari itu ianya senang menerima sebarang ukiran samada yang cantik atau yang buruk. Sekiranya anak kecil itu diajar tentang kebaikan dan dibiasakan dengan kebaikan, dia akan membesar di atas jalan kebaikan. Sekiranya dia dibiasakan dengan kejahatan dan disia-siakan, anak itu akan menjadi rosak dan binasa. Dan dosa itu akan ditanggung oleh kedua ibubapanya.Surah At Tahrim : 6 yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri mu dan kaum keluarga mu dari api neraka!"Bagaimanakah bentuk pemeliharaan ini; iaitu :-1.Mendidik, mencerdaskan dan mengajarnya dengan budi pekerti yang baik.
2.Menjaganya dari berkawan dengan teman-teman yang jahat.
3.Tidak membiasakannya dengan kesenangan, kemewahan dan perhiasan.
4.Disibukkannya di surau untuk mempelajari Al Quran, hadith-hadith dan cerita-cerita para solihin agar tertanam dijiwanya cinta kepada orang- orang soleh.
5.Dijaganya daripada bergaul dengan rakan-rakan yang hidup mewah dan memakai pakaian yang membanggakan.
6.Tidak membanyakkan perkataan celaan kepadanya kerana itu akan membiasakannya dengan cacian dan perbuatan keji.
7.Membiasakan anak-anak itu beriadah di sebahagian waktu di siang hari agar dia tidak menjadi malas. Tidak melarangnya bermain dan selalu memaksanya belajar.Ini akan mematikan hatinya dan merosakkan kecerdikannya.
8.Melarangnya menyombongkan diri dengan teman-temannya disebabkan sesuatu yang dimiliki oleh ibubapanya.
9.Membiasakannya merendah diri dan memuliakan setiap orang yang bergaul dengannya.
10.Melarangnya dari banyak berbicara dari perkataan yang sia-sia atau keji serta menjaganya daripada bergaul dengan orang yang lidahnya selalu berbuat demikian.
11.Apabila anak itu dipukul oleh guru, dinasihatkan anak itu supaya bersabar dan bukannya memekik-mekik atau berteriak kerana itu adalah kebiasaan orang-orang berani.
12.Apabila anak itu sudah sampai usia tamyiz ie. dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, disuruhnya solat, puasa, melarangnya daripada mencuri, memakan yang haram, berkhianat, berdusta, berbuat perkara keji.
13.Diajarkannya adab-adab duduk dan makan. Duduknya tidak membelakangi orang lain, tidak meletakkan sebelah kaki di atas sebelah yang lain. Tidak menongkat dagu kerana ini menunjukkan kemalasan. Apabila menghadap makanan, dididiknya agar dia tidak rakus kepada makanan dengan cara mendahulukan orang lain, mengunyah dengan baik, tidak cepat-cepat, tidak mengotorkan pakaian dengan makanan, tidak banyak makan, tidak memilih-milih makanan dan redha memakan apa yang dihidangkan.
14.Di waktu anak itu mendekati dewasa, disuruhnya mencari bekal dari dunia untuk akhirat.

Disuruhnya taat kepada Allah Azza wa Jalla.Semuanya ini dimulakan sejak dari awal kelahiran. Yang menjadi pendidik dan penyusunya seharusnya daripada wanita solehah, yang beragama dan makan hanya yang halal. Kerana susu yang terhasil dari yang haram tidak ada barakah padanya dan pertumbuhan anak itu akan cenderung di atas jalan keburukan.Wallahu'alam.

(dipetik daripada Ihya Ulumiddin, jilid 4)The end.

Tiada ulasan: